NEGARA TELAH melangkah ke alaf baru empat tahun lalu. Dan pada tahun
2020 Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju, meninggalkan tarafnya
sebagai negara membangun. Perhitungan ini banyak disandarkan kepada
pembangunan fizikal dan terlalu sedikit kepada asas-asas jiwa dan
penjiwaan, kualiti hidup dan jati diri bangsa.
Kita, misalnya,
sentiasa mengukur pencapaian mengikut KDNK, pertumbuhan ekonomi sebenar,
ketinggian bangunan yang kita bina dan lain-lain pencapaian fizikal.
Pada tahun 2020, iaitu sekitar 15 tahun dari kini tentunya serba-serbi
berjalan pantas. Kehidupan masyarakat Malaysia, seperti yang diramal,
akan dipenuhi pembaharuan demi pembaharuan. Teknologi informasi dan
komunikasi pada masa itu akan secanggih mungkin. Cara hidup kita di
Malaysia dan juga di merata dunia akan turut berubah.
Kita
sedang diterap dan dicorakkan oleh nilai-nilai dan amalan dunia global
dengan hebatnya. Segala macam ilmu pengetahuan akan lebih pantas
diperolehi. Cara berfikir, cara bertindak dan cara hidup, semuanya akan
berubah. Banyak penyakit yang tidak terubat pada masa ini mungkin
beroleh penawar yang mujarab di zaman itu. Atau sebaliknya, masyarakat
Malaysia, khususnya orang Melayu, akan lebih terdedah kepada unsur-unsur
baru.
Unsur-unsur ini tidak semestinya membina jati diri atau
yang membina bangsa yang dikehendaki kerana proses yang ada pada masa
itu ialah yang sesuai dipanggil osmosis di mana proses nilai kuat lagi
berpengaruh menyedut nilai lemah yang kurang berpengaruh. Salah satu
yang bakal disedut melalui proses osmosis itu nanti ialah menerusi
pencabulan bahasa, kebudayaan dan cara hidup yang mencorakkan sifat
kemelayuan mereka. Pandangan yang cenderung ke arah fenomena ini mungkin
akan dipertikai tetapi pada amatan kebanyakan pemerhati ianya pasti
berlaku.
Seperti
yang telah disaksikan kebelakangan ini, kesan kemajuan global telah
banyak mengubah cara hidup lama. Satu-satunya yang baru ialah hidup
dengan komputer dan internet. Orang kini mengirim berita pantas melalui
e-mail dan sms – dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian
perbendaharaan kata kita, dan sehubungan itu ramai yang berurus niaga
melalui internet. Perkataan terbaru sering memasuki perbendaharaan kata
kita, kadangkala tanpa perlu ditapis atau dihalusi terlebih dahulu.
Istilah Infotenmen, misalnya, yang menimbulkan kontroversi dalam
penggunaan istilah bahasa Melayu juga merupakan satu istilah baru yang
dipertikaikan walaupun Menteri Penerangan telah menghujahkan
alasan-alasan penggunaannya di Parlimen. Hiburan, berita dan maklumat,
kebanyakannya disajikan oleh media sampai terus ke bilik tidur dengan
nisbah yang lebih ketara daripada yang disajikan secara tempatan.
Alat-alat canggih pengguna dipasarkan secara meluas lalu menggantikan
peralatan lama. Bahasa Melayu dituturkan separuh Melayu separuh
Inggeris, di kalangan sektor swasta pertuturan adalah lebih kurang 70%
dalam bahasa Inggeris dan hanya 30% dalam bahasa Melayu, itu pun adunan
bahasanya dalam keadaan lintang-pukang seolah-olah sekerat ular sekerat
belut. Dan secara ketara, pendidikan negara mulai disalut dengan
kaedah-kaedah baru dengan perantaraan media baru iaitu bahasa Inggeris.
Nisbah
perkataan baru yang di ceduk dari bahasa Inggeris lalu jadi sebahagian
bahasa rojak kita. Dunia siber sudah bertapak dalam hidup kita.
Bersediakah kita mempertahankan diri agar jati diri dan kesinambungan
bina bangsa terjamin? Sebenarnya soalan ini tidak akan dapat dijawab
secara tepat dan kalau dijawab pun ianya belum pasti akur kepada apa
yang mungkin terjadi.
Jika diamati generasi muda Melayu di
pusat-pusat Bandar, akan tersua amalan asas mereka. Mereka leka dengan
perkelilingan baru — keluarga, hiburan, sukan, tempat kerja dan
tumpuan-tumpuan hidup yang lain lantas dipengaruhi unsur-unsur global
yang telah dipopularkan melalui media, dagangan antarabangsa dan hiburan
muzik serta wayang gambar hollywood dan bollywood. Mereka kian lama
kian jauh dari apa yang dahulunya boleh dikesan sebagai belia Melayu.
Sementara itu golongan Korporat Melayu cuba berlumba-lumba mendapatkan
hak mereka dari “kuih” ekonomi yang ada, sekali pun tahap yang dicapai
setakat ini masih di paras 18%. Jelaslah 12% lagi masih di awangan dan
belum menepati janji serta aspirasi kita yang digurindamkan pada tahun
1971 dahulu.
Dalam
perkelilingan beginilah masyarakat Malaysia hidup di negara ini. Dan
dalam perkelilingan beginilah kita kembali memperkatakan nasib bahasa
Melayu (BM). Cuma kali ini ditambah sedikit dengan kaitannya dengan
senario global. Sebenarnya memperkatakan tentang bahasa Melayu
hakikatnya ialah kita memperkatakan satu-satunya aspek asas orang Melayu
itu sendiri. Survival bahasa Melayu di peringkat yang maju dan
beridentiti lantas juga mencerminkan bangsa Melayu khasnya dan bangsa
Malaysia amnya. Cuma bangsa Malaysia adalah igauan politik yang hendak
dicapai tetapi Bangsa Melayu sudah ada dan nyata.
Kebelakangan
ini sudah begitu banyak pihak memperkatakan tentang Bahasa Melayu.
Tetapi boleh dikatakan kesemuanya membuat rungutan atau dengusan yang
negatif tentang keadaan terumbang-ambing beberapa aspek bahasa Melayu
itu. Dari tahun 1999 hingga 2003 terdapat secara rambang sekitar 94
rencana utama termasuk kertas-kertas simposium dan konvensyen yang
memperkatakan tentang bahasa Melayu dari pelbagai sudut dan aspek.
Tajuk-tajuk yang digemari ialah masalah bahasa rojak; keupayaan bahasa
Melayu dalam dunia moden, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan
bahasa ilmu, kemampuan bahasa Melayu sebagai lingua franca di kepulauan
Melayu, bahasa Melayu dalam konteks pembudayaan bahasa persuratan,
kelunturan bahasa Melayu dan pelbagai lagi tajuk pokok yang kesemuanya
menyentuh tentang pusaka perhubungan Melayu ini. Malangnya tiada satu
pun di antara rencana-rencana itu yang memuji atau memberi markah tinggi
kepada usaha memperkasakan bahasa Melayu. Sebenarnya usaha
memperkasakan Bahasa Melayu semacam sudah dilupai, seolah-olah seperti
bidalan terpijak pergi terlanda pulang. Boleh juga dikatakan bahawa piel
atau sikap yang ada ialah sikap tangkap muat atau taking things for
granted dalam kiasan bahasa Inggerisnya.
Bahasa Melayu dalam era
global adalah suatu tajuk yang sangat mencabar dan penuh permasalahan.
Ia berkait rapat dengan soal jati diri orang Melayu dan bangsa Malaysia
amnya. Ia juga suatu masalah pembudayaan yang amat berat dan rumit.
Tajuk ini walaupun pernah dibincangkan dalam beberapa polemik yang
terdahulu lebih banyak menimbulkan masalah daripada jawapan. Ini adalah
kerana bahasa Melayu itu sendiri sedang menghadapi cabaran dan rintangan
yang hebat di dalam negara sendiri. Bercakap pasal bahasa Melayu di era
global semestinya memerlukan kita membincangkan terlebih dahulu
beberapa isu bahasa secara domestik. Jika tidak, perbincangan kita
semacam belum tegak sudah berlari.
Bahasa sebagai alat komunikasi
antara manusia mempunyai berbagai-bagai fungsi. Ia berfungsi
mengungkapkan konsep, gambaran dan menjelmakan perbuatan. Ia berfungsi
menyampaikan kehendak mental. Ia berfungsi mengungkapkan perasaan, rasa
hati dan gerak hati. Pendeknya sesuatu yang bermain-main dalam fikiran
kita dapat kita ungkapkan melalui bahasa.
Dengan bunyi glottal
atau vokal manusia melahirkan bunyi itu. Pengalaman begini memakan masa
dan merentas zaman. Perkataan baru sebelum diterima pakai sebagai
sebahagian bahasa sesuatu masyarakat itu mengalami ujian ‘penerimaan’
atau ‘penolakan’. Proses menerima atau menolak ini bergantung kepada
sekuat mana jati diri bangsa penuturnya. Jika lemah maka lebih banyaklah
kata-kata yang diimport sekalipun di dalam himpunan kata-kata bangsa
sudah sedia ada kata-kata sendiri.
Sesuatu yang bermain-main
dalam fikiran secara umumnya disebut bayangan dan secara khususnya
disebut sebagai citra dalam Bahasa Sanskrit dan atau imej dalam alih
Bahasa Inggeris. Citra atau imej muncul dalam bentuk simbol atau
perkembangan. Misalnya apabila kita berfikir tentang kuda, kita
menuturkan sebagai kuda atau menulisnya dalam istilah-kata "Kuda".
Ertinya setelah membayangkan konsep "kuda" dalam fikiran, kita jelmakan
ianya dalam bentuk lisan atau tulisan sebagai kuda.
Bahasa (kata
istilah dan konsepnya) cukup penting dalam mengungkapkan tahap-tahap
ilmu yang tertentu. Dalam hierarki mempelajari sesuatu ilmu, wujud empat
tahap keilmuan. Ilmu yang terbawah ialah ilmu empirikal (misalnya -
ilmu sains dengan berbagai-bagai cabang ilmunya), diikuti tahap yang
paling tinggi iaitu ilmu rasional ( ilmu falsafah dan ilmu pemikiran
kreatif), ilmu laduni (intuitive knowledge) iaitu ilmu terus daripada
Allah dan ilmu tertinggi ialah ilmu makrifat yakni ilmu tentang Ilahi
yang merupakan ilmu yang tertinggi dalam hierarki ilmu.Setiap tahap ilmu
mempunyai kata, istilah dan konsepnya yang tersendiri. Misalnya bahasa
yang di ungkapkan pada tahap ilmu empirikal adalah bahasa saintifik.
Bahasa saintifik membawa pengertian bahasa yang logik yakni yang
berfungsi dan bersifat tersendiri tetapi yang melibatkan erti tepat.
Dalam konteks inilah sayang sekali konsep tepat pengertian dan tepat
penghasilan tidak didalami sebelum kita mengaku kalah lalu bahasa Melayu
tidak mampu menjadi wahana sains dan matematik.
Isu-isu bahasa :
Pada
amnya terdapat 7 isu pokok yang berkaitan bahasa Melayu dalam konteks
bina bangsa (nation building):i. Masalah penjiwaan bahasa Melayuii.
Masalah bahasa rojakiii. Masalah pemakaian dan keutamaan bahasa
Melayuiv. Utiliti atau sifat perlu-guna bahasa Melayuv. Unsur-unsur dan
amalan yang merosakkan bahasa Melayuvi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963vii.
Perubahan dasar bahasa ilmui.
Penjiwaan bahasa: Bagi tempoh
tahun-tahun 1960’an Isu bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan menjadi
perkara hangat dan isu yang membakar semangat perjuangan orang Melayu
dan rakyat Malaysia. Bahasa Jiwa bangsa sesungguhnya sebahagian dari
jiwa nasionalisme orang Melayu. Begitu penting dan utama bahasa Melayu
sehingga UMNO sendiri menerapkannya ke dalam fasal 3 perlembagaannya
tentang bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Sementelahan pula
istilah Melayu itu sendiri mengikut Perkara 160 Perlembagaan negara
mewajibkan seseorang itu berbahasa Melayu selain beragama Islam dan
mengamalkan adat istiadat Melayu sebelum layak diiktiraf sebagai seorang
Melayu. Kempen Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di
bawah pimpinan Tuan Syed Nasir Ismail masih diingati sebagai yang
terhebat dan berkesan.
Secara rambang keutuhan bahasa Melayu
tidak banyak dipertikaikan sehingga 1986. Bahasa Melayu itu sendiri
mengalami edaran zaman dan evolusi. Sistem ejaan, kerjasama penyeragaman
Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia, penulisan novel, cerpen dan
penyemarakan bahasa menjadi amalan biasa sehingga apabila menjelang
tahun 1985 penulisan novel, cerpen, sajak terus beroleh tempat di
kalangan pembaca. Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai semenjak 1959
hingga awal 1980’an terus menjadi kilang guru bahasa Melayu yang
berkesan dan disegani. Kini ianya cuma jadi sejarah. Penekanan kepada
bahasa Melayu dari sudut perguruan khusus sudah kurang mendapat
perhatian.
Bila pengkhususan pengajaran bahasa berkeadaan
sedemikian, maka hasil penjiwaannya juga turut berkurangan. Sastera
Melayu, penulisan kreatif Melayu, bahasa Indah Melayu dan pada amnya
pembudayaan bahasa Melayu turut merana. Bila jiwa sudah lemah dalam
sesuatu amalan, maka aspek praktisnya juga turut lemah. Lemahnya
penjiwaan adalah terasas kepada tuntutan perkelilingan. Lemah penjiwaan
ini hanya dapat diatasi dan diperkukuh semula jika hala tuju jiwa bangsa
tadi bersedia memungut yang cicir, mencari yang hilang. Jika polemik
hanya tertumpu kepada hujah yang secara asasnya tidak yakin kepada
bahasa ibunda sendiri sebagai bahasa ilmu tentulah ubat yang dicari
tidak akan menyembuhkan penyakit. Penyakit lama akan hinggap kembali.
Kini orang Melayu tak pandai sangat berkata halus lagi. Antara “Hi” dan
“Hello” dan “showtime” pepatah-petitih sudah dilupai. “Apa khabar” juga
sudah dipulas oleh Assalamualaikum. Perumpamaan Melayu semacam menjadi
pusaka murah. Buku Kiliran Budi dan Ilmu Mengarang Melayu karya Pendeta
Za’ba sudah disaluti habuk kerana tidak dirujuk lagi. Kita menerpa dan
melompat ke hadapan tanpa menyusun langkah. Di sinilah barangkali tepat
dikatakan: “koyak baju kerana lenggang; pesuk songkok kerana lonjak”.
Kerosakan ini semua adalah akibat badan yang buruk pinta. Rangkap lama
mengingatkan kita:
Jangan disalai ciku kedondong
Salailah ikan atas para
Jangan salahkan ibu mengandung
Salahkan badan yang buruk pinta.
ii.
Masalah bahasa rojakKini kita sudah diserang penyakit campur-aduk
seperti yang disebutkan di atas. Penyakit campur-aduk inilah yang
menyebabkan berkembangnya bahasa rojak. Bahasa rojak wujud dalam sesuatu
ayat yang diselang-selikan dengan bahasa asing sehingga campurannya itu
semacam hidangan rojak. Hanya yang berbeza ialah rojak lebih sedap
dimakan tetapi bahasa rojak menyebabkan kita sakit telinga mendengarnya
dan paling parah, bangsa Melayu malu dipalunya.
Awal-awal lagi
boleh diperakukan, mencedok perkataan asing untuk dimuatkan ke dalam
sesuatu ayat bahasa Melayu memang tidak dihalang, malah memang benar
seperti kata-kata Pendeta Za’ba dalam buku klasiknya Ilmu Mengarang
Melayu bahawa dalam bahasa Melayu sedia terdapat sekian banyak perkataan
yang asalnya adalah dari pelbagai punca: Sanskrit, Inggeris, Portugis,
Belanda, Parsi, Arab, Cina dan sebagainya. Tidak perlu bagi saya
menyatakan perkataan-perkataan itu kerana umum sudah pun mengetahuinya.
Paling
mudah bagi kita mendengar melalui radio atau TV sekarang
ungkapan-ungkapan seperti “e-mail”, “sms” “internet”, “software”,
“hardware”, “ISDN”, “html”, “computer” “website” dan sebagainya.
Sekarang pun kita secara harian mendengar dialog seperti berikut:
“Hei, hari ini birthday I lah”
“Dalam hal ini you yang paling best”
“How are you today...harap OK lah”
“You dah breakfast kah”
“Hei, kawan-kawan, it’s showtime”
“Inilah showtime yang ori…”
Ungkapan-ungkapan
dalam dialog ini dipetik dari siaran radio dan TV kita. Di kaki lima
dan di kedai kopi dialog generasi muda begitu juga. Warga emas juga
diheret sama. Jelas tiada pengawasan oleh pihak-pihak tertentu sehingga
berterusan wujudnya bahasa rojak dalam kehidupan kita sehari-hari. Di
samping pengawasan di media barangkali boleh dilakukan, tetapi ianya
sukar dikuatkuasakan terhadap individu yang sudah memilih tatabahasa
yang baru untuk bercakap antara seorang dengan seorang yang lain. Jika
diamati, contoh-contoh ini boleh dituruti oleh ratusan contoh lain yang
rata-rata membuktikan bahawa bahasa lisan kita sudah rosak
keunggulannya. Sebaliknya bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil tidak
tertarik dengan amalan campur-aduk ini ke tahap yang dialami bahasa
Melayu. Yang merunsingkan ialah kepekaan dan rasa prihatin masih belum
tertera di pemikiran yang bertanggung jawab di bidang penggunaan bahasa.
Ada
beberapa petua sebelum masyarakat harus membenarkan bahasanya dirasuk
bahasa rojak yang tidak indah dan tidak mencerminkan jati diri. Pihak
yang mengatakan bahawa apa salahnya diambil perkataan asing, sedangkan
perkataan-perkataan asing sudah pun dipinjam semenjak beratus-ratus
tahun dahulu lagi. Ini memang boleh diterima tetapi peminjaman itu
berasas kepada beberapa syarat dan ketertiban demi menjaga keutuhan
bahasa Melayu:i. Istilah atau perkataan baru itu bolehlah diambil jika
tiada perkataan yang sama maksudnya dalam bahasa Melayu; Jika dalam
bahasa sendiri ada perkataan yang sesuai, kenapa kita perlu tiru hak
orang? Dalam pengertian ini, misalnya kita tak perlu ambil birthday
sedangkan hari jadi atau hari kelahiran ada dalam bahasa Melayu.
Showtime
boleh diganti dengan masa persembahan atau saat persembahan; ori dengan
asli;ii. Peniruan atau pengambilan kata perbendaharaan orang lain harus
menambah ilmu dan jati diri kepada masyarakat.iii. Pihak pengembang dan
pemaju bahasa ibunda harus bertindak dan membetulkan sesuatu ungkapan
atau perkataan yang dirasakan menceroboh bahasa sendiri. Malangnya kuasa
membetulkan ini tiada pada sesiapa atau mana-mana pihak pada masa ini.
Manakala
siaran pantas dari satelit atau multimedia yang lain bertambah pesat,
seperti yang laksanakan Astro pada masa ini, kita dapat bayangkan betapa
besar dan dahsyatnya kemungkinan pencabulan berlaku di bidang-bidang
lain kehidupan kita.
Secara amnya kita terdedah dan terlalu terbuka
kepada anasir-anasir luar. Mekanisme penahanan atau mengehadkan
penerapan luaran ini tidak cukup ada pada kita sekalipun agama itu
tampaknya patut lebih berkesan sebagai penangkis.Apabila bahasa berubah
dan diubah soalan yang muncul ialah: siapa yang ubah dan kenapa?
Jawabnya tentu terletak pada hakikat bahawa ianya diubah sedemikian cara
kerana penuturnya berasa bahasa ibundanya tidak lagi cukup untuk
melahirkan maksudnya sehingga ia terpaksa menggunakan
perkataan-perkataan asing. Sebaliknya mereka mungkin beranggapan bahawa
imej yang mereka perolehi dengan menyelitkan perkataan Inggeris di
celah-celah ayat Bahasa Melayu akan meninggikan imej mereka walaupun ini
tentunya berupa pendekatan bersifat makjujad (hypocrite); atau dengan
bahasa Melayu rojak mereka berasa boleh mencapai kepuasan berkomunikasi;
atau, dan ini penting, mungkin asuhan bahasa Melayu mereka di sekolah
tidak sampai ke tahap mantap. Juga terdapat di beberapa kalangan,
termasuk pemimpin yang tidak berpendidikan aliran Inggeris, lantaran
mereka rata-rata dianggap tidak mempunyai kelulusan akademik yang
tinggi, mereka cuba menyelitkan sepatah dua perkataan Inggeris dalam
perbualan dengan tujuan supaya orang menganggapnya boleh speaking atau
‘tinggi’ tahap pendidikannya.
Walaupun gejala ini barangkali kecil
bilangannya, boleh diperakukan bahawa ianya wujud nyata di kalangan
masyarakat kita.Sebenarnya ungkapan sekerat belut-sekerat ular tadi:
“Hei,
hari ini birthday I lah” boleh dituturkan sebagai “Hei, hari ini hari
jadi saya (aku)lah”. Semua ungkapan di atas tadi boleh belaka dituturkan
secara Melayu 100%. Tetapi kenapa tidak dilakukan sebegitu? Ini semua
adalah petanda yang bakal membawa kepada kelunturan. Ini bukan sekadar
ramalan seorang idealis atau yang semata-mata bersifat tulen tak
menentu, tetapi pandangan ini bertapak pada alam nyata:
Sekilat ikan di air, sudah tahu jantan betina
Kilat beliung ke kaki, kilat cermin ke muka.
Jika
demikian cara dan kaedah yang paling berkemungkinan untuk menangani
bahasa rojak yang memuramkan imej bahasa kita ialah dengan menjayakan
program-program latihan lisan yang membina amalan komunikasi. Ia harus
dijalankan di semua institusi persekolahan dan pengajian tinggi.
Personaliti
media utama, pemimpin, institusi kawalan kerajaan harus mengutamakan
percakapan bahasa Melayu yang betul. Gejala bahasa rojak tidak akan
hapus kerana pembudayaan bahasa ibunda belum wujud sepenuhnya di negara
ini. Jati diri tidak dikaitkan dengan pentingnya bahasa ibunda
dipersadakan.iii. Masalah pemakaian dan keutamaan bahasa MelayuDari segi
bahasa, bahasa Inggeris sudah nyata akan merobah cara berfikir dan juga
cara bertindak di samping cara menimba ilmu serta jenis ilmu yang bakal
ditimba.
Akan wujud sekian ramai anak Melayu yang nanti berfikir
dalam bahasa Inggeris kemudian bercakap dalam bahasa Melayu. Malah
bermimpi dalam bahasa Inggeris juga kebiasaan. Juga akan ada anak-anak
masyarakat Cina dan India Malaysia yang bercakap dalam bahasa Melayu dan
berfikir dalam bahasa Cina dan India. Sekarang pun kecenderungan ini
sudah berlaku. Juga tidak dapat dinafikan bahasa Mandarin dan Tamil akan
beroleh tempat yang lebih signifikan melalui langkah-langkah
pembudayaan bahasa mereka.
Oleh kerana bahasa perisian pada masa
itu rata-rata Inggeris, Bahasa Melayu akan disadur banyak oleh
terma-terma dan sintaksis Inggeris. Penutur bahasa Melayu mesti bersedia
untuk perubahan-perubahan ini. Mereka yang bersifat sebagai pengamal
keaslian (purist) mungkin akan berduka kerana bahasa lama akan secara
perlahan menghilang, struktur dan gaya baru pula akan muncul.Bahasa
Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dijamin di bawah Perkara 152
Perlembagaan Malaysia. Ia juga bahasa rasmi Parlimen Malaysia. Status
ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Cuma kemajuan dan kepesatannya
mungkin terjejas akibat dasar mengglobalkan bahasa Inggeris dan bukan
Bahasa Melayu.
Bila ini berlaku, Bahasa Melayu tetap menyusul
dari belakang kerana dari segi keutamaan global bahasa Inggeris beroleh
keutamaan. Peranan dan posisi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dari
sudut ini tidak akan meningkat tanpa peningkatan industri buku yang
seharusnya diperjuangkan.Bahasa Melayu, seperti yang telah diketahui,
akan lebih terdedah kepada pelbagai pindaan informal yang dicetuskan
oleh dan melalui media elektronik, khususnya oleh pengaruh komunikasi
serta aliran alam siber. Dalam erti kata sebenar, cara hidup baru itu
nanti bakal merubah pemakaian tatabahasa Melayu.
Seharusnya,
bibit-bibit budaya yang indah, yang halus, yang murni perlu dikekalkan
tetapi berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bermakna kita
tidak minta dibuli atau dipijak. Ini termasuklah asuhan Islam positif
yang perlu dibudayakan terus-menerus. Khususnya dalam hal ini
nilai-nilai yang dijalin dan disajikan melalui Islam Hadhari akan lebih
diminati. Amalan Islam yang mengambil kira tamadun yang berevolusi,
konsep dan amalan budi-bahasa, amalan tradisi Melayu seperti
sopan-santun, kekeluargaan, hormat-menghormati dan sebagainya akan lebih
membimbing. Pendeknya mesti diteruskan apa yang selama ini dikenali
sebagai “asuhan budi”. Barangkali falsafah “Rukunegara” yang membentuk
masyarakat Dasar Ekonomi Baru (DEB) boleh disemarakkan semula.
Kejuruteraan sosial (social engineering) tidak boleh dihentikan atau
dicanai oleh pemikiran seseorang sahaja. Satu muafakat bangsa mesti
diadakan. Mewujudkan Kementerian Kebudayaan kesenian dan Warisan hanya
sebahagian daripada usaha ke arah itu. Di samping Bangsa Malaysia hendak
diwujudkan, soal adab dan tamadun tidak harus dikelasduakan. Bahasalah
menjadi penjalin dan penjana bangsa.iv. Utiliti atau sifat perlu guna
bahasa Melayu adalah lumrah manusia iaitu jika sesuatu itu tidak berapa
menepati tuntutan kegunaan atau utilitinya, perkara atau barang itu akan
kurang disimpan, kurang dipakai dan kurang keperluannya.
Dalam satu
aspek bahasa Melayu mungkin tergolong kepada keadaan ini jika bahasa
ilmu terus menerus disalur oleh bahasa Inggeris. Tetapi hakikat yang
satu lagi ialah bahawa bahasa Melayu masih diperlukan sebagai syarat
lulus dan cukup syarat dalam peperiksaan dengan kelulusan dalam bahasa
Melayu. Lagipun sebagai lingua franca negara ini BM akan tetap digunakan
sebagai wahana komunikasi. Sebagai bahasa ilmu BM dikhuatiri tidak akan
terlalu membangun kecuali dasar pembukuan negara diubah dengan erti
kata semua teks ilmu moden dan usang diterjemahkan ke dalam bahasa
Melayu. Tetapi soalnya, sekalipun buku-buku aeronautik, kimia, kaji
cuaca, kejuruteraan, elektronik dan lain-lain diterjemahkan, siapa akan
baca lantaran buku-buku ini dengan mudah diperolehi dalam bahasa
Inggeris, bahasa yang dipelajari di sekolah untuk menimba ilmu. Di sini
sudah jelaslah kedudukan BM sebagai bahasa ilmu.
Sebaliknya pula
jika anak-anak Melayu tidak berlumba-lumba pula untuk menguasai bahasa
Inggeris, mereka akan tercicir terus dalam usaha menimba ilmu semasa.
Keadaan serba-salah ini sebenarnya tidak harus digusarkan. Ini adalah
kerana jika zaman moden dunia hendak disertai oleh warga Malaysia
melalui kebangkitan global, bahasa Inggeris tidak dapat dinyahkan lagi.
Ini bererti sekian banyak istilah bahasa Inggeris akan menerpa masuk
kepada perbendaharaan kata BM. Bahasa rojak akan berterusan dituturkan
dan dilaungkan.
Mungkin dalam bahasa tulisan sedikit sagu hati
akan diperolehi kerana nahu semasa akan terus digunakan. Sebagai
perbandingan, bahasa Arab juga menghadapi permasalahan yang sama. Mereka
belum mampu menimba ilmu moden dengan bahasa ibunda mereka. Justeru
saban tahun sekitar 20,000 mahasiswa dalam pelbagai jurusan sains
mengaji di universiti dan institusi pengajian tinggi Barat yang bahasa
pengantarnya ialah Inggeris.
v. Unsur-unsur yang merosakkan bahasa Melayu.
Bahasa
Melayu yang dituturkan pada hari ini, selain melalui ucapan, ialah
bahasa yang ditulis dan dijadikan sebagai wahana komunikasi
surat-menyurat. Sementara keadaan bahasa Melayu lisan boleh dikatakan
dalam keadaan kurang memuaskan berbanding BM tulisan, beberapa sebab
dapat diperhatikan:
a. kurang latihan pertuturan yang baik yang melibatkan anak-anak sekolah, mahasiswa dan petugas awam.
b. Kurangnya asuhan melibatkan bahasa indah dan cara berfikir objektif dalam pembahasaan dan pertuturan.
c. Kurangnya asuhan bahasa baik, bahasa indah.
d. Kurangnya latihan atau mata pelajaran berkaitan karya-karya besar sastera bangsa sendiri.
e. Pembelajaran dalam bidang the Arts yang tidak disaring dan dikemas.
f.
Kurangnya tenaga pengajar yang komited dengan pembudayaan bahasa atau
pembahasaan sebagai satu bidang kajian atau mata pelajaran.
Sementara
itu amalan-amalan di peringkat pimpinan, kepegawaian dan urusan-urusan
rasmi juga dilihat orang sebagai unsur-unsur yang mempengaruhi dan
merumitkan penggunaan BM yang baik. Jika bahasa mesyuarat juga
bercampur-aduk dengan selingan bahasa rojak, bagaimana penggunaan bahasa
baik dapat dicapai? Sementara itu akhbar Utusan Melayu berkeadaan mati
segan hidup tak mahu lantaran orang Melayu sendiri bersikap dingin
terhadap tulisan Jawi.
Menurut pihak berkuasa di syarikat Utusan,
akhbar yang pada satu masa dulu berfungsi sebagai pencetus nasionalisme
Melayu kini sudah jadi edisi sekali seminggu. Itu pun dengan jualan yang
kurang dari 7,000 naskhah seminggu. Ini memalukan. Jika dicari di mana
hilangnya, jika dipintas di mana hanyutnya, puncanya ialah pembelajaran
bangsa.
vi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963Cinta rakyat kepada Bahasa
Kebangsaan meluap-luap sehingga mereka yang mulanya memperleceh Bahasa
Kebangsaan akhirnya diam dan mula segan dan hormat terhadap bahasa
ibunda orang Melayu itu. Pada tahun 1963 Akta Bahasa Kebangsaan
diluluskan Parlimen. Akta itu hanya sekadar mengisytiharkan peruntukan
Perkara 152 perlembagaan Persekutuan. Ia tidak memperuntukkan sebarang
provisi penalti terhadap sesiapa yang mencabul bahasa atau yang tidak
mengamalkan penjiwaan bahasa, umpamanya. Malah jika terdapat penggunaan
bahasa pada iklan papan tanda, Dewan Bahasa dan Pustaka, misalnya, tidak
dapat berbuat apa-apa melainkan menasihatkan pihak yang berkenaan.
Apabila
Singapura merdeka dari Persekutuan Malaysia pada 1965 Bahasa Melayu
lantas dijadikan bahasa rasminya. Banyak pihak beranggapan bahawa Akta
bahasa Kebangsaan 1963 adalah tulang belakang kepada maju atau mundurnya
bahasa Melayu. Pada satu hakikat ini mungkin benar tetapi pada
pengertian khususnya Akta ini hanya bersifat deklatori, yakni menyatakan
apa yang sudah jelas dan nyata daripada hal bahasa Melayu itu.
Sebaik-baiknya beberapa pindaan harus dilakukan dalam usaha memberi
sedikit kuasa penguatkuasaan kepada satu-satunya agensi bahasa di negara
ini, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Penguatkuasaan yang dihajati benar
ialah apabila disuai penggunaan yang telah disalahgunakan, DBP tidak
boleh berbuat apa-apa sedangkan di Perancis, misalnya, Biro Bahasa
Perancis di bawah Kementerian Kebudayaan berkuasa membetulkan sesuatu
penyelewengan bahasa Perancis. Fenomena “pencapaian dan kecapaian” pada
tahun 1996 seharusnya boleh diatasi dengan segera oleh DBP tetapi
lantaran ketiadaan peranan yang jelas dari segi membetulkan bahasa yang
disalahgunakan, anggota masyarakat bermaharajalela dengan pembahasaan
salah. Kesalahan bahasa papan tanda juga sedemikian.
vii. Perubahan dasar:
Benarkah
ia melemahkan Bahasa Melayu?Pada suatu hakikat memang boleh diterima
bahawa dasar 2002 yang mewajibkan bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengajaran matematik dan sains merobah satu lagi pancang seri yang
selama ini menjadi kebiasaan dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran
tersebut di Sekolah Kebangsaan.
Tetapi realiti perkara ini memerlukan
penilaian objektif dan bukan subjektif. Sebelum anjakan dasar ini
dibuat dua tahun lalu, keciciran anak-anak Melayu dalam Bahasa Inggeris,
Matematik dan Sains memang ketara sedangkan penguasaan sains dan
matematik di kalangan bukan Melayu berada di tahap baik. Ini adalah
kerana pengajaran bahasa Inggeris di SRJK lebih mantap dan berkesan
sedangkan di Sekolah Rendah Kebangsaan adalah di sebaliknya. Pencapaian
sains dan matematik di sekolah-sekolah berbahasa Mandarin, sebaliknya,
terus meningkat. Ini disebabkan kualiti pengajaran menyumbang kepada
pencapaian anak-anak di SRJK.
Justeru sampai kini sekolah-sekolah ini
enggan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran sains dan
matematik. Tetapi pencapaian mereka di bidang-bidang berkenaan terus
meningkat sekalipun pencapaian bahasa Inggeris mereka cuma di peringkat
sederhana.Apa akan berlaku jika amalan lama tidak dianjak? Pertama
anak-anak Melayu akan terus berada di tahap lama, mereka akan terus
lemah pencapaian B Inggeris, sains dan matematik.
Sekurang-kurangnya
bahasa Inggeris mereka selepas ini akan bertambah baik lantas secara
teorinya mereka akan lebih profisyen dan boleh menimba ilmu lain dengan
lebih mudah. Tetapi ini bergantung kepada kualiti pengajaran bahasa itu
kepada murid-murid. Ini bergantung kepada kualiti para guru itu sendiri.
Jika kualiti pengajarannya melonjak maka pencapaian di kedua-dua subjek
itu juga akan turut melonjak. Dalam hal ini pendekatan paling baik
ialah mewujudkan kumpulan pengajar yang fasih dan berilmu tinggi.
Peranan
Maktab Perguruan Bahasa tidak boleh dipandang ringan.Juga akan berlaku
ialah bahasa Melayu akan kekurangan peranan dalam pengajaran dua ilmu
tersebut. Dari satu sudut ini kenampakan sebagai suatu kerugian tetapi
dari segi sebenar jika diimbangi ia boleh menjadi rangsangan baru.
Tetapi bahasa Melayu tidak boleh dianggap bahawa lantaran bahasa
Inggeris dipilih untuk menyegarkan pengajian matematik dan sains maka BM
akan terus lemah dan menghilang. Ini merupakan sikap mengalah dan
pesimis.
Rumusan TindakanTampak sebagai penting iaitu penggunaan
bahasa Melayu perlu dijana semula dan dikempenkan semula. Para
pengucapnya mesti dalam keadaan sedar (conscious) selalu supaya megah
dan berasa senang berbahasa Melayu dengan baik. Sekolah, universiti,
agensi-agensi Kerajaan, NGO dan kumpulan-kumpulan lain harus bersekutu
dan bekerjasama memperjuangkan kembali perkara nasional yang amat
penting ini.Banyak bidang yang boleh terus diperjuangkan: meningkat dan
memperhebatkan dasar buku nasional; menerbitkan buku-buku bermutu dunia
dan serantau; meningkatkan kerjasama bahasa serantau; mengamalkan dasar
cintakan bahasa sastera, sesungguhnya bermacam-macam projek bahasa boleh
diteruskan. Dengan lain pengertian, pembudayaan bahasa perlu diusahakan
terus-menerus.
Kesimpulan boleh dibuat pada peringkat ini, iaitu
kita tidak harus terus berasa hilang tenaga dalam menghadapi cabaran
global. Untuk menghalang bahasa Melayu daripada diselangi perkataan dan
nilai luar secara melulu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang
penting ialah kita mesti terus memupuk rumpun yang ada dan
memperkayakannya dengan bimbingan, hala tuju dan apresiasi yang
berterusan.
Asas pendidikan kita harus kuat. Pendekatan kita demi
BM zaman depan mesti bersandar kepada situasi menang. Untuk itu
pembudayaan bahasa harus nyata.Di plaza tol lebuh raya kini terdapat
bahasa tanda yang berbunyi, “Lorong Touch ‘n Go”. Bahasa apa ini? Inilah
dia bahasa rojak rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi
tidak menuras. Inilah juga kerja yang memalukan bangsa. Kenapa tidak
dipakai saja istilah “Lorong pacu segera” atau “Lorong tekan & pacu”
Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum
sewenang-wenang menggunakan “touch ‘n go” Jika tiada azam perjuangan
yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup
dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch ‘n go.
Tepuk dada, tanya selera.
No comments:
Post a Comment